Thursday, April 19, 2012

jimat dan jenama

 

 

Pengaruh jenama memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan perbelanjaan harian pengguna. Dalam hal ini, golongan remaja dikatakan mudah terpengaruh dengan penggunaan sesuatu jenama. Apabila sesuatu jenama terkenal berada di pasaran, para remaja akan berusaha membelinya dan apabila ia menjadi ikutan ramai, maka terbentuklah budaya mengagung-agungkan sesuatu jenama itu. Ramai remaja ingin memiliki seluar jeans, kemeja, t-shirt, jam tangan dan kasut berjenama. Antara jenama yang sering menjadi tumpuan remaja termasuklah Calvin Klein, Donna Karan New York (DKNY), Giorgio Armani, Guess dan sebagainya.

Remaja dikatakan sanggup membelanjakan wang untuk mendapatkan sesuatu jenama yang mereka inginkan tanpa memikirkan kesannya. Pemberian wang berlebihan kepada remaja secara tidak langsung mendidik para remaja ke arah gejala perbelanjaan yang tidak sihat. Ini akan memberi kesan yang buruk terhadap corak perbelanjaan remaja di mana mereka akan mengamalkan sikap boros dan tidak berjimat cermat. Ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak dengan memberi kebebasan yang melampau kepada anak-anak mereka juga mendorong remaja mengamalkan perbelanjaan yang tidak sihat.

Soalnya ialah had kebebasan perbelanjaan di kalangan anak-anak perlu diberi perhatian. Di sini, peranan ibu bapa adalah amat penting. Ibu bapa harus sedar tentang setiap sen yang dibelanjakan dan diberikan kepada anak-anak mereka perlu dibelanjakan dengan sebijaknya. Tegasnya, pendidikan asas kepenggunaan harus dipraktikkan.

Dalam pada itu, aspek pengaruh rakan sebaya turut memainkan peranan penting. Selain ibu bapa, orang yang paling dekat dengan remaja ialah rakan sebaya mereka. Apa yang dilakukan oleh rakan remaja akan diikuti oleh remaja yang lain. Memandangkan pengaruh rakan sebaya amat kuat dalam mencorakkan perbelanjaan harian remaja berkenaan, ibu bapa seharusnya membuat pengawasan terhadap anak-anak mereka dalam soal perbelanjaan harian.

Dalam pada itu, gejala terlalu mementingkan sesuatu jenama dan corak perbelanjaan yang tidak sihat di kalangan remaja juga mempunyai kaitan rapat dengan sistem pendidikan di negara kita. Pada masa sekarang tidak ada mata pelajaran khusus tentang kepenggunaan yang diajarkan di sekolah-sekolah. Keahlian kelab-kelab pengguna sekolah juga bukanlah sesuatu yang diwajibkan. Hanya para pelajar yang berminat sahaja yang akan menyertainya. Oleh itu, hanya sebilangan kecil pelajar sahaja yang mendalami pengetahuan dalam bidang kepenggunaan ini.

Justeru itu, untuk memastikan aspek kepenggunaan dipupuk dari peringkat awal umur seseorang, pendidikan kepenggunaan harus ditetapkan dalam sistem pendidikan negara kita. Ini secara langsung akan melahirkan seorang pengguna yang berwibawa dan pintar dalam mencorak perbelanjaannya.

Iklan juga memainkan peranan dalam mempengaruhi remaja supaya membeli jenama-jenama terkenal dan mahal. Iklan-iklan berjenama ini biasanya menampilkan gaya hidup yang menarik. Iklan sebegini sebenarnya amat berjaya menarik minat remaja membeli barangan berjenama berkenaan. Disebabkan iklan mempunyai daya penarik, golongan remaja mudah terpengaruh untuk membeli barangan yang berjenama mahal walaupun barangan itu bukan merupakan suatu keperluan.

Oleh itu untuk membendung gejala ini, iklan-iklan juga seharusnya dapat mendidik pengguna dan bukan hanya memikirkan untuk mengaut keuntungan berlebihan semata-mata.

Secara keseluruhannya, aspek pengaruh jenama di kalangan pengguna remaja harus diberi perhatian dari peringkat awal perkembangan anak-anak. Kita tidak ingin melahirkan pengguna yang sangat mementingkan jenama semata-mata sedangkan barangan yang tidak berjenama mahal juga mempunyai kualiti dan mutu yang sama. Pengguna harus dididik untuk bijak memilih agar tidak mudah terpengaruh dengan jenama sahaja. Barangan berjenama terkenal biasanya dikaitkan dengan barangan yang menawarkan harga yang mahal, bermutu tinggi dan tahan lama. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa barangan yang tidak berjenama terkenal tidak semestinya mempunyai kualiti dan mutu yang rendah. Apa yang penting ialah pengguna harus bijak memilih dan dapat membelanjakan wang mereka dengan bijak.

Dalam hal ini, ibu bapa harus memainkan peranan yang sewajarnya untuk mendidik anak-anak remaja mereka aspek kepenggunaan yang baik dan rasional. Walau bagaimanapun untuk mencapai hasrat melahirkan pengguna yang bijak ini, semua pihak perlu berganding bahu merealisasikannya.

Perlu ditekankan di sini bahawa kebebasan, keunggulan, gaya dan mutu hanyalah kualiti atau sifat barang-barang berkenaan dan bukannya sifat pemakainya. Janganlah terkeliru dengan iklan dan jenama sahaja.

by: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna

sumber: Pengaruh Jenama Terhadap Remaja

 

Apabila baca artikel ni, baru terfikir dan berkira-kira kemana lah duit gaji selama ni selalu je tak cukup. benar betul kata en.muiezz. barang jenama biar la ada satu atau dua saja untuk dipakai ke majlis keraian saja. untuk pakai hari-hari biar la yang murah-murah asal ada kualiti. teringat pulak pesan kakak yang kawannya dahulu pernah kerja kat sebuah syarikat berjenama, lepas habis je musim rekaan baju berkenaan, dorang buang tag jenama, dan jual dengan harga yang teramat murah!

so, jangan tertipu dan pandang rendah terhadap barang yang tak berjenama. pasni, memang aku sapu la beg kat carefour tadi.. pergh lawa mengikut citarasa aku! cari kat branded concept store tak jumpe pulak yang kena ngan citrasa… =.=

yang paling penting, barang keinginan dapat, duit kumpul kawen pun ada. n_~

No comments:

Post a Comment